Friday, 14 December 2012

PERANAN INSTITUSI KELUARGA DALAM MELAHIRKAN INSAN CEMERLANG



             Institusi keluarga terdiri daripada bapa,ibu,anak-anak dan saudara mara. Setiap unit mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Walaupun keluarga merupakan agen sosial yang terkecil dalam masyarakat,namun keluarga memainkan peranan yang amat besar dalam melahirkan insan yang cemerlang. Ibu bapa terutamanya,mempunyai tanggungjawab yang besar kerana anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkannya. Malah, hadis Rasulullah S.A.W. ada mengatakan bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang bersih melainkan dua orang tuanya yang berperanan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani,atau Majusi. Jelaslah di sini bahawa keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam membentuk diri anak-anak dari segala aspek. Persoalannya,pernahkah ibu bapa renungkan sejauh mana peranan yang mereka mainkan berpengaruh dalam perjalanan hidup anak mereka? 

            Slogan ‘Rumahku Syurgaku’ membawa erti keluarga yang bahagia. Dalam hal ini,ibu bapa amat berperanan dalam melahirkan keluarga yang aman dan damai. Menurut Dr. Hassan Ali,Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia,kesejahteraan bermula dari rumah,maka ibu bapa hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan keindahan kepada anak-anak. Kesejahteraan di rumah akan dapat mewujudkan keluarga penyayang. Oleh itu,ibu bapa harus peka dan faham serta mempunyai iltizam untuk melahirkan insan yang utuh dari segi emosi,akhlak,dan moraliti dalam mengharungi ranjau serta liku yang sentiasa menghambat kesejahteraan keluarga. Anak-anak yang membesar dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah menerima perkara-perkara positif dalam membina jati diri mereka. Oleh itu,anak-anak terutamanya remaja yang baru sahaja berumur setahun jagung,darah setampuk pinang ini,tidak akan bercermin di air keruh. Selain itu,mereka juga lebih tenang dan lebih mudah menerima pelajaran bagi memastikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Mereka tidak akan teraba-raba dalam mencari hala tuju kerana mereka sudah mempunyai keluarga bahagia yang menjadi tulang belakang mereka. Justeru,dapatlah disimpulkan bahawa keluarga yang bahagia menjadi sumber kekuatan mereka dalam menempuh usia remaja yang penuh cabaran. 

                 Selain itu,ibu bapa bertanggungjawab memberikan ilmu kepada anak-anak. Peranan ilmu dalam kehidupan seseorang individu sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, anak-anak mestilah dipupuk supaya mencintai ilmu. Misalnya, ibu bapa wajar membudayakan amalan membaca dalam keluarga. Sesungguhnya, ilmu umpama cahaya yang akan menerangi hidup kita dengan membawa kejayaan. Menurut Islam,menuntut ilmu itu difardhukan kepada setiap muslim. Malah,Rasulullah S.A.W. pernah bersabda,tuntutlah ilmu hingga ke negeri China. Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu kepada anak-anak supaya mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik yang seterusnya akan melahirkan insan yang lebih intelektual dan berketrampilan. 

               Pada era globalisasi dan modenisasi ini,tugas mendidik,menjaga dan melindungi anak-anak daripada perkara yang negatif bukanlah suatu perkara yang ringan dan mudah bagi sesebuah keluarga. Bekalan pendidikan yang berkualiti dari sekolah,menanamkan rasa tanggungjawab dan disiplin,tidak cukup sekiranya tidak diimbangi dengan bekal pendidikan agama yang baik. Kita sendiri dapat melihat hakikat bahawa golongan yang berpelajaran turut terlibat dalam kes-kes jenayah yang berlaku pada hari ini. Oleh itu,tidak lengkaplah seorang individu itu sekiranya tidak menghayati nilai-nilai agama. Dalam hal ini,ibu bapa mesti bertindak sejak peringkat akar umbi lagi dalam usaha menerapkan nilai agama. Bak kata pepatah,sebesar rumah bermula dengan seketul bata. Menurut Presiden Persatuan Penggerak Komuniti Malaysia,Norizan Sharif mengatakan bahawa ibu bapa sebagai golongan veteran haruslah membina kekuatan dalaman diri anak-anak dengan asas agama. Sememangnya tidak dapat disangkal lagi,didikan agama yang secukupnya akan menjadi benteng yang kukuh dalam menangkis segala anasir yang tidak baik dan seterusnya akan memandu mereka ke arah kecemerlangan. Justeru,ibu bapa amat berperanan dalam memberikan didikan agama yang baik dalam usaha menjadikan mereka insan yang cemerlang. 

            Di samping itu,ibu bapa perlu bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Oleh hal yang demikian,mereka mesti menjadi role model kepada anak-anak. Bagi menjadi role model yang baik, ibu bapa mestilah memulakannya daripada diri mereka sendiri. Ibu bapa tidak boleh menjadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus. Misalnya,dari segi penampilan diri,ibu bapa yang menjadi role model ini,perlu berketrampilan sopan dan tidak melanggar batasan agama dan budaya. Mereka juga perlu menjadi pengurus rumahtangga yang baik iaitu dari segi pengurusan masa,pengurusan diri,sehinggalah ke pengurusan kewangan. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa,ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,bapa borek anak rintik,dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. 

          Tambahan pula,keluarga merupakan sumber inspirasi kepada setiap individu. Sentuhan kasih sayang dan dakapan mesra menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa seharusnya menjadi pemudah cara kepada anak-anak supaya mereka dapat membebaskan diri daripada belenggu masalah. Sebagai contoh,apabila anak-anak berhadapan dengan masalah pelajaran atau gangguan emosi,ibu bapa perlu menjadi pendengar yang setia dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Terdapat juga anak-anak yang mengalami tekanan sehingga mereka hilang kawalan diri dan putus asa,ibu bapalah orang pertama yang seharusnya menghidupkan kembali semangat mereka dan memberikan bimbingan untuk meneruskan kehidupan. Jika tidak,mereka pasti akan mencari orang luar yang belum tentu dapat menjadi penggalak dan pembimbing ke jalan yang benar. Justeru,ibu bapalah yang harus menjadi penggalak dan pembimbing yang terbaik supaya mudah bagi mereka untuk mengharungi segala cabaran dalam usaha menjadi insan yang cemerlang. 

            Pada masa yang sama,anak-anak mestilah diberikan perhatian. Ibu bapa mestilah peka terhadap faktor-faktor di sekeliling anak-anak mereka. Misalnya,ibu bapa mestilah mengawal dan memantau pergaulan anak-anak dengan rakan supaya mereka tidak akan mudah terdedah kepada perkara-perkara yang tidak baik sekiranya tersilap langkah dalam memilih rakan. Malah,kita dapat melihat pada setiap hari,isu negatif yang melibatkan generasi muda menghiasi lembaran akhbar. Contohnya, gejala merokok dalam kalangan remaja. Isu negatif seumpama ini bertitik tolak daripada pengaruh rakan sebaya. Hal ini bermakna,ibu bapa berperanan mengawal dan melindungi anak-anak mereka daripada terjebak dengan perkara negatif yang akhirnya akan menjadi penghalang kepada kecemerlangan anak-anak pada masa hadapan. 

            Berdasarkan cambahan minda di atas,konklusi yang dapat dibuat ialah sukar untuk menafikan bahawa kecemerlangan ibu bapa menjadi modal insan yang utama untuk menjana kecemerlangan anak-anak. Oleh itu,ibu bapa mestilah melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan sebelum melayari bahtera rumahtangga demi melahirkan ibu bapa yang prihatin. Pengisian ilmu keibubapaan yang merangkumi tanggungjawab suami,isteri,dan anak-anak serta batasan-batasan hak mereka ini diharapkan dapat membantu mereka dalam membentuk sahsiah atau disiplin anak-anak. Sesungguhnya disiplin yang kukuh adalah pencetus kecemerlangan dan kegemilangan. Hal ini seiring dengan kata-kata mantan Perdana Menteri,Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi yang berhasrat menjana rakyat Malaysia menjadi cemerlang,gemilang,dan terbilang dalam usaha mewujudkan negara yang maju. Hal ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa peranan keluarga ini sebenarnya memberi sumbangan dalam pembentukan sesebuah negara. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa maju atau mundur sesebuah negara terletak di tangan ibu bapa yang membentuk sesebuah institusi keluarga.


7 comments:

  1. seriously , bagus gilaa karangan ni :3

    ReplyDelete
  2. , thanks bgy contoh karangan nyh .

    ReplyDelete
  3. pjg gilaa krgn ni...btw thanks for sharing this essay

    ReplyDelete
  4. thanks for the karangan mememang bagus

    ReplyDelete
  5. Terima kasih sebab hasil kan karangan yang cukup bagus.. pepatah melayu yang banyak.. terbaik..

    ReplyDelete