FAKTOR REMAJA LARI DARI RUMAH
Assalamualaikum
dan Salam Satu Malaysia.Yang
saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi
bijaksana, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Permai, Puan Intan Binti
Isa, guru-guru,dan rakan seperjuangan sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin
memperkenalkan diri dan tajuk pidato saya pada hari ini. Saya,Nur Ain dari
Tingkatan 4 Melati telah memilih tajuk “Masalah Remaja Lari Dari Rumah”.
Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih lanjut, saya ingin memanjatkan kesyukuran
ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat saya berdiri di sini dan
menyampaikan pidato saya pada hari ini.
Hadirin dan
hadirat yang dihormati sekalian,
Dalam kepesatan pembangunan ekonomi,
masyarakat kita berhadapan dengan gelombang perubahan sosial yang mencabar
institusi sosial dan keluarga di negara ini. Akibatnya remaja di Malaysia
sedang melalui kemelut sosial yang semakin berleluasa. Penglibatan remaja kita
dalam kegiatan seks bebas, melepak, jenayah juvana, lari dari rumah dan
penagihan dadah memberi tamparan hebat kepada semua lapisan masyarakat serta
menjadi tanda tanya kepada pembangunan dan pemodenan yang dikecapi.
Gejala remaja melarikan diri dari rumah
berpunca daripada keadaan keluarga yang sunyi dan membosankan. Dewasa ini, ibu
bapa terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan. Akibatnya, interaksi dan
komunikasi sesama keluarga menjadi renggang dan anak-anak terabai. Keadaan ini menyebabkan
anak-anak yang ketagih kasih sayang mengalami perasaan kecewa dan tekanan jiwa.
Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak mula membenci ibu bapa dan keluarga
serta sering bertindak meninggalkan keluarga mereka.
Keruntuhan institusi keluarga atau
rumah akibat pertelingkahan antara ibu bapa menyebabkan anak-anak lari dari
rumah. Ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran mengurus rumah tangga di
kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga.
Akibatnya, keharmonian dan kestabilan keluarga terjejas. Apabila keadaan ini
berterusan, anak-anak menjadi bosan dan menanggung penderitaan jiwa lalu
bertindak memberontak terhadap keadaan ini dengan melarikan diri dari rumah.
Desakan dan dorongan rakan-rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam kes anak-anak lari dari
rumah. Remaja yang terabai dan ketagih kasih sayang bergantung kepada
kawan-kawan mereka. Mereka lebih mudah meniru, terikut dan terpengaruh dengan
rakan sebaya. Malahan rakan sebaya mengisi sebahagian besar kehidupan mereka.
Dalam keadaan ini, mereka sanggup berbuat apa sahaja demi rakan mereka dan
bertindak meninggalkan keluarga semata-mata memenuhi kehendak rakan-rakan.
Di samping itu, tarikan kuat dunia luar
dan negara berikutan pengaruh budaya Barat turut menjadi punca utama. Golongan
remaja masa kini sering terpengaruh dengan idea kebebasan dan individualistik. Malahan gaya hidup bebas yang penuh keseronokan
menjadi idola ramai remaja. Apabila ibu bapa mereka cuba
menerapkan nilai-nilai baik dan terpuji, anak-anak menganggap ibu bapa cuba mengongkong
kebebasan mereka. Jika keadaan ini berlarutan, anak-anak tidak teragak-agak
lagi untuk meninggalkan rumah mereka.
Gejala remaja lari dari rumah juga sering
berpunca daripada sikap remaja itu sendiri. Kebanyakan remaja masa kini tidak
memiliki ketahanan diri. Malahan mereka memiliki emosi yang rapuh. Keadaan ini
sering berpunca daripada kurangnya pendidikan agama dan asuhan moral yang
efektif. Asuhan yang tidak menyeluruh menyebabkan keperibadian remaja tidak
begitu mantap dan stabil. Mereka mudah terpengaruh dan tidak berupaya menilai sesuatu keadaan.
Akibatnya, mereka tidak dapat menangani rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka. Justeru, mereka sering bertindak
terburu-buru apabila menghadapi masalah dan salah satu jalan penyelesaian utama adalah dengan melarikan diri dari rumah.
Hadirin
sekalian,
‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara’ merupakan ungkapan yang menjelaskan kepada kita bahawa remaja merupakan
tonggak negara dalam menerajui kepimpinan negara. Justeru, masalah sosial dalam
kalangan remaja haruslah diberi perhatian dan tidak wajar dianggap remeh. Semua
pihak haruslah memainkan peranan masing masing dengan baik supaya dapat
mengelakkan fenomena ini daripada terus berleluasa, terutamanya golongan ibu
bapa. Hal ini kerana, keluarga menjadi wadah paling utama dalam membentuk
keperibadian remaja. Oleh yang demikian, segala kepincangan sosial terutamanya
di kalangan remaja wajar dirujuk kepada keadaan keluarga dan sistem sosial
secara menyeluruh.
Why this is not good
ReplyDelete