PERANAN REMAJA DALAM MENANGANI MASALAH PENYALAHGUNAAN DADAH
Di dalam kitab suci Al-Quran, istilah
‘khamar’ digunakan bagi semua bahan yang
memabukkan atau boleh menghilangkan kewarasan akal fikiran. Oleh
yang demikian, dadah boleh dikategorikan sebagai salah satu daripada jenis
‘khamar’. Secara umumnya, dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang
psikoaktif, samada berbentuk asli atau tiruan, apabila dimasukkan ke dalam tubuh
badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh
badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental. Terdapat pelbagai
jenis-jenis dadah. Antaranya ialah syabu, ketamin, heroin, ganja, morfin dan
kokain. Apabila dibangkitkan isu mengenai dadah sudah tentu remajalah yang
selalu dikaitkan dengan gejala ini. Berdasarkan statistik dari Agensi Anti Dadah
Kebangsaan (AADK) didapati sejumlah 126,153 orang penagih dadah ditemui sepanjang
tahun 2004-2010. Bilangan penagih dadah paling tinggi yang dikesan adalah dalam
lingkungan umur 25-34 dan 18-24 tahun. Hal ini jelas membuktikan bahawa betapa
seriusnya masalah dadah dalam kalangan remaja. Jika remaja yang merupakan bakal
peneraju tampok kepimpinan negara pada masa hadapan ini sendiri tidak
mencerminkan akhlak dan contoh yang baik. Siapakah yang akan membela nasib negara
kita pada masa hadapan?
Pelbagai usaha yang boleh dilakukan
oleh remaja bagi menangani masalah dadah yang kian berleluasa ini. Antaranya ialah, mendapatkan didikan agama yang
secukupnya. Zaman remaja merupakan zaman yang paling manis dalam hidup seseorang
manusia. Namun begitu, pelbagai cabaran dan dugaan tetap akan dihadapi oleh
setiap remaja dalam menghadapi tahap transisi antara zaman kanak-kanak dengan
zaman remaja. Dalam hal ini, didikan agama amatlah penting untuk membimbing
mereka menyelesaikan masalah secara positif. Hadis Rasulullah S.A.W ada
mengatakan bahawa ‘ilmu tanpa agama adalah buta manakala agama tanpa ilmu
adalah lumpuh”. Hadis ini menerangkan kepada kita betapa pentingnya aspek agama
dalam kehidupan seseorang dan menekankan bahawa bekal ilmu dari sekolah
perlulah diimbangi dengan ajaran agama. Jika remaja mempunyai pegangan agama
yang utuh dan teguh, sudah pasti mereka tidak akan terjebak ke dalam kancah
negatif seperti pengambilan pil khayal
atau dadah yang akan mengheret mereka ke lembah jenayah. Pegangan agama sudah
pasti dapat menjadi benteng yang kukuh untuk menangkis segala anasir-anasir
negatif seperti ini dalam kehidupan mereka. Oleh itu, remaja haruslah berpegang
teguh dengan ajaran agama untuk menangani masalah dadah.
Selain itu, remaja perlulah mengisi masa
lapang mereka dengan perkara yang berfaedah. Hal ini kerana, jika seseorang
remaja mempunyai masa terluang dan tidak mempunyai sebarang aktiviti yang
berfaedah untuk dilakukan, remaja itu akan mudah terjebak ke dalam penyakit
sosial ini yang semakin menular dari hari ke hari. Remaja perlulah bijak
menguruskan masa dengan sistematik. Hal ini kerana, pengurusan masa yang
sistematik juga akan mendorong kepada disiplin diri yang tinggi. Jika remaja
sudah dilengkapi dengan senjata disiplin yang tinggi dan mantap sudah pasti ia
akan dapat menghalang mereka daripada terus terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti
yang tidak berfaedah seperti pengambilan dadah. Masa itu juga diibaratkan
seperti emas. Hal ini kerana, masa itu sangat berharga. Namun remaja pada zaman
kini lebih gemar menghabiskan masa dengan aktiviti –aktiviti yang tidak
berfaedah seperti melepak dan merempit yang akhirnya akan menyebabkan mereka
terlibat dalam gejala yang kurang sihat ini. Oleh itu, remaja perlulah menghargai
setiap saat dalam kehidupan mereka dan menguruskan masa dengan bijak iaitu
dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk membanteras gejala
pengambilan dadah.
Di samping itu, remaja haruslah
memilih rakan sebaya yang positif. Hal ini kerana, berkawan dengan penjual minyak
wangi harumnya akan melekat pada kita, manakala berkawan dengan tukang besi
bahang kepanasannya akan turut kita rasai.Begitulah juga dengan dadah, jika
seseorang remaja mempunyai rakan sebaya yang positif dari segi pemikiran dan
juga sikap, sudah pasti remaja itu juga akan memiliki akhlak yang positif. Remaja pada masa kini juga boleh
dikatakan lebih rapat dan banyak menghabiskan masa dengan rakan berbanding ibu
bapa. Maka, boleh dikatakan rakan sebaya banyak mempengaruhi pemikiran
remaja. Kebanyakan kes pengambilan dadah yang berlaku dalam kalangan remaja juga
adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Remaja pada masa kini sangat
cenderung untuk mencuba sesuatu yang
baharu walaupun perkara itu ditegah oleh agama. Sikap ingin tahu tentang
sesuatu sememangnya wujud dalam diri remaja. Apabila dipelawa oleh rakan sebaya
untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu seperti dadah remaja yang lemah
pegangan agama akan terpengaruh dan terjebak dalam pengambilan dadah. Oleh itu, remaja
haruslah memilih rakan sebaya yang dapat membimbing mereka ke jalan yang lurus
dan bukannya jalan yang menyesatkan.
Selain
daripada itu, remaja haruslah menyertai
kelab atau persatuan Skim Lencana Anti
Dadah (SLAD) yang ditubuhkan di sekolah. Persatuan
seperti ini dapat mendidik remaja agar menjauhi dadah dengan pelbagai
aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Misalnya seperti didikan tentang jenis-jenis
dadah dan kesan penggunaan dadah. Jika remaja mengetahui kesan pengambilan
dadah sudah tentu mereka akan takut dan
tidak berani untuk mencuba. Di samping itu, remaja boleh juga mengaktifkan diri
dengan menyertai pelbagai kempen anti dadah yang diadakan di seluruh negara. Oleh itu, remaja haruslah
aktif dalam persatuan –persatuan
seperti ini yang dapat
menyedarkan mereka tentang keburukan dadah.
Selain itu, remaja haruslah rajin menghadiri
majlis-majlis ilmu. Kepentingan ilmu dalam hidup seorang remaja sememangnya tidak dapat dinafikan. Malah, ilmu diibaratkan
seperti cahaya yang akan menerangi kehidupan kita dengan membawa kejayaan. Hadis
Rasulullah S.A.W juga ada mengatakan bahawa”tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Menurut Islam, menuntut ilmu itu difardhukan kepada setiap muslim. Tanpa
ilmu pasti remaja akan terjebak dalam pengambilan dadah. Hal ini kerana, dengan
menghadiri majlis-majlis ilmu sudah tentu remaja akan diberi pendedahan tentang
keburukan dadah yang boleh membawa maut dan pelbagai penyakit seperti hepatitis, kerosakan sistem saraf, risiko jangkitan HIV/AIDS dan sebagainya. Oleh
itu, sebagai seorang remaja mereka haruslah melibatkan diri dengan majlis-majlis
ilmu yang dapat memberi seribu satu manfaat dalam kehidupan mereka.
Berdasarkan cambahan minda di atas, konklusi
yang dapat dibuat ialah sukar untuk dinafikan bahawa remaja memainkan peranan
yang penting dalam menangani masalah dadah. Persis kata peribahasa
melayu,’sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”, menjelaskan kepada kita betapa
pentingnya kesedaran dalam diri setiap remaja terhadap dadah.“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara" merupakan
slogan yang menerangkan kepada
kita bahawa generasi muda yakni remaja merupakan pewaris negara yang bakal
menerajui tampok kepimpinan negara pada masa hadapan.Oleh itu, sebagai anak
bangsa yang menjadi aset penting dan kebanggaan negara setiap remaja haruslah memainkan peranan
mereka dengan baik dalam usaha menjamin kemajuan dan kegemilangan negara.
good
ReplyDelete