FAKTOR GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
Berita Harian, 12 Julai 2001 lalu telah
melaporkan bahawa dalam tempoh 10 tahun antara tahun 1989 hingga tahun 1998, kadar jenayah membabitkan remaja
meningkat sebanyak 35 peratus bagi lelaki dan 25 peratus bagi perempuan. Statistik
ini menunjukkan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja semakin
membimbangkan. Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan
satu-satunya tonggak negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan
ungkapan “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Persoalannya, jika remaja
kita musnah sebagai akibat keseronokan yang sementara ini, siapakah yang akan
terus memperjuangkan nasib negara kita? Justeru, senario ini mencetuskan
kebimbangan kepada semua pihak termasuklah golongan ibu bapa, guru, masyarakat, dan
negara. Tidak dinafikan, pelbagai usaha telah digembleng bagi mengatasi kemelut
ini. Namun begitu, apakah punca kepada kegagalan tersebut?
Kemelut ini sebenarnya bermula daripada
diri remaja itu sendiri. Perkataan remaja atau adolescene berasal dari perkataan
Latin iaitu “adolescere” yang bermaksud “membesar” atau “membesar menjadi
matang”. Menurut Kamus Dewan, Edisi Ketiga, remaja merupakan seorang yang mulai
dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Dari segi perspektif
Islam pula, remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur atau
diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat ini, golongan remaja mengalami
peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Apabila mengaitkan diri
remaja dengan gejala sosial yang semakin berleluasa pada hari ini, kita dapat
melihat sikap ingin mencari sesuatu yang baharu atau sikap ingin tahu yang ada
dalam diri remaja sebagai satu faktor yang utama. Sikap ingin tahu memang wujud
dalam diri remaja. Lazimnya mereka gemar mencuba sesuatu yang baharu. Setiap
perkara yang terlarang, itulah yang ingin diterokai oleh
mereka. Contohnya, fenomena lumba haram yang terjadi akibat keinginan remaja
untuk menunjukkan belang mencerap keseronokan bersama rakan sebaya. Selain
itu, masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap ingin
tahu yang tidak kena pada tempatnya. Menurut Tun Abdullah Bin Haji Ahmad
Badawi, masalah dadah yang merupakan masalah utama, masih merupakan ancaman besar
negara. Hal ini membuktikan, betapa seriusnya masalah dadah. Lebih-lebih
lagi, gejala ini melibatkan golongan remaja.
Selain itu, remaja kini lebih suka
kepada cabaran dan mudah terikut atau terpengaruh dengan gaya dan cara hidup
orang lain. Kita dapat lihat pada hari ini, budaya asing semakin mempengaruhi
hampir semua aspek kehidupan remaja seperti cara pemakaian, makanan mahupun cara
pemikiran. Remaja seolah-olah mengagung-agungkan budaya asing. Mereka beranggapan
bahawa budaya asing yang diikuti adalah cara hidup moden yang seiring dan sesuai
dengan dunia yang kini semakin canggih dan moden. Sebaliknya, mereka menganggap
bahawa cara hidup berlandaskan ajaran agama adalah kuno dan tidak lagi boleh
diguna pakai pada zaman moden ini. Justeru, hal ini menyebabkan remaja tidak
mempunyai pegangan dalam hidup dan bertindak menjalani kehidupan mengikut cara
mereka sendiri. Apabila keadaan ini terjadi, remaja akan mudah terjebak dengan
pelbagai gejala yang tidak sihat. Antara contoh yang paling releven ialah budaya
‘black metal’ dalam kalangan remaja yang lahir sebagai akibat daripada pengaruh
budaya asing.
Di samping itu, ibu bapa turut menjadi
faktor perdana apabila membincangkan isu yang melibatkan remaja. Hal ini kerana
ibu bapa sering dikatakan sebagai individu yang dekat dengan remaja dan banyak
mempengaruhi proses pembentukan diri remaja. Namun begitu, ibu bapa kini
mengabaikan tanggungjawab dan peranan mereka terhadap anak-anak. Hal ini kerana
ibu bapa kini rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi
naluri mereka. Keadaan ini menyebabkan remaja membesar tanpa belaian kasih
sayang dan perhatian daripada kedua ibu dan bapa. Di sinilah timbulnya perasaan
seolah-olah diri remaja tidak dihargai dan terabai. Lebih-lebih lagi, apabila
remaja berhadapan dengan masalah keluarga. Menurut Dr. Syed Hasan Ahmad, apabila
remaja membuat andaian bahawa ibu bapa cuai dalam tanggungjawab mereka dan
berlaku perkara tidak diingini dalam keluarga terbabit, remaja itu akan berasa
marah, kecewa, dan memendam perasaan. Justeru, remaja mengambil kesempatan keluar
untuk meneroka dunia yang penuh dengan penipuan dan jenayah kerana mereka
merasakan kehidupan menjadi kosong sebagai akibat keperluan emosi mereka yang
tidak dipenuhi dengan belaian kasih sayang oleh ibu bapa. Hal ini membuktikan
bahawa ibu bapa merupakan aset signifikan dalam membentuk diri remaja.
Disuntik nilai tambahnya, kurang didikan
agama dan moral turut menjadi punca gejala sosial dalam kalangan
remaja. Pendidikan agama dan moral perlu diberi keutamaan sejak anak-anak masih
kecil lagi kerana didikan yang cukup dan sempurna menjadi benteng yang kukuh
untuk menangkis segala anasir yang tidak baik seperti merokok, melepak, dan
kegiatan lumba haram. Melentur buluh biarlah dari rebungnya merupakan peribahasa
yang menjelaskan kepada kita betapa pentingnya
anak-anak dididik sejak kecil dengan didikan agama dan moral. Akhbar Utusan
Malaysia, 30 September 2002, menyatakan bahawa sikap terpedaya dan sukar mengawal
nafsu dikenalpasti sebagai antara punca utama berlakunya gejala kehamilan luar
nikah yang seterusnya mengundang gejala pembuangan bayi dalam kalangan
remaja. Di sini kita dapat melihat peranan didikan agama dan moral dalam diri
remaja kerana kita yakin dan percaya bahawa apabila mereka mengetahui hukum-hukum
agama, sudah pasti mereka tidak akan menjerumukan diri ke dalam perkara yang
ditegah oleh Tuhan. Selain itu, Nabi Muhammmad S.A.W. sendiri mengingatkan kita
agar meninggalkan akhlak yang buruk demi melahirkan jiwa yang bersih dan
tenang. Izharnya, mereka yang terlibat dengan gejala sosial adalah mereka yang
tidak menghayati ajaran agama. Ingatlah “agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu
tanpa agama adalah lumpuh”.
Tambahan pula, selain ibu bapa, rakan sebaya
turut menjadi punca berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja. Hal ini
kerana rakan sebaya merupakan individu yang rapat dengan remaja selain ibu
bapa. Malah remaja kini lebih banyak meluangkan masa dengan rakan berbanding
dengan keluarga. Hal ini menyebabkan remaja terlalu mempercayai rakan sehingga
sanggup melakukan apa sahaja bersama-sama tanpa memikirkan akibat daripada
perbuatan tersebut. Selain itu, remaja takut diri mereka akan dipinggirkan
daripada kumpulan rakan-rakan sekiranya tidak mengikut perbuatan
mereka. Contohnya, apabila sekumpulan pelajar merokok, pasti remaja dalam kumpulan
tersebut akan didesak supaya melakukan perbuatan yang sama. Keadaan ini akan
menimbulkan konflik dalam diri remaja
yang tidak mahu disisihkan atau dianggap tidak berani mencuba. Akhirnya, remaja
akan memilih untuk menyertai rakan dengan mengikut perbuatan mereka itu. Dalam
hal ini, remaja perlu sedar bahawa mereka perlu bijak memilih rakan. Hal ini
kerana apabila berkawan dengan penjual minyak wangi, harumnya akan melekat pada
badan kita, manakala apabila berkawan dengan tukang besi, bahang kepanasan akan
turut kita rasai. Jelaslah bahawa rakan sebaya turut memainkan peranan yang
penting dalam pembentukan diri remaja.
Di samping itu, pihak sekolah lebih
mementingkan prestasi akademik pelajar berbanding pembentukan sahsiah diri
pelajar. Berdasarkan makalah yang dipetik daripada Dewan Masyarakat keluaran
bulan Mei 2004, sekumpulan pelajar dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)
Pendang, bertindak ganas memukul seorang pelajar lelaki sehingga patah
tulang rusuk kanannya. Apabila disiasat, puncanya begitu remeh namun kemelut yang
dicetuskan menggemparkan negara berikutan persepsi pelajar sekolah yang
cemerlang akademiknya turut terlibat dalam gejala yang tidak sihat seumpama
ini. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa remaja kini hanya diberi penekanan terhadap
prestasi akademik dan tidak diberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah diri
remaja. Keadaan inilah yang menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan
remaja.
Akhir sekali, banyak faktor yang
menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Semua pihak haruslah memainkan
peranan masing-masing dengan sempurna supaya dapat mengelakkan fenomena ini daripada
terus berleluasa. Gejala-gejala sosial ini sememangnya boleh ditangani andai
terdapat sinergi daripada semua pihak. Bak kata pepatah di mana ada kemahuan di
situ ada jalan. Sesungguhnya, remaja merupakan harapan bangsa. Oleh itu, masalah
yang membabitkan golongan remaja tidak wajar dibiarkan begitu sahaja tanpa ada
titik noktahnya.
(y)
ReplyDeleteterima kasih
ReplyDeletetq soo much .sngat mmbantu dlm meningkatkn pnulisan saya .
ReplyDeletetq mga allah blas jasa baik miss feeya
tq mringankan beban pmbelajaran saya
Minta izin nak baca dan salin utuk mngkatkan bm sya ..tqq..
ReplyDeleteKarangan yg terbaik...tq
ReplyDelete