PERANAN INSTITUSI KELUARGA DALAM MELAHIRKAN INSAN CEMERLANG
Institusi keluarga terdiri
daripada bapa, ibu, anak-anak dan saudara mara. Setiap unit mempunyai peranan
yang jelas dan tersendiri. Walaupun keluarga merupakan agen sosial yang
terkecil dalam masyarakat, namun keluarga memainkan peranan yang amat besar
dalam melahirkan insan yang cemerlang. Ibu bapa terutamanya, mempunyai
tanggungjawab yang besar kerana anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain
putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkannya. Malah, hadis Rasulullah S.A.W.
ada mengatakan bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang
bersih melainkan dua orang tuanya yang berperanan mencorakkannya menjadi
Yahudi, Nasrani,atau Majusi. Jelaslah di sini bahawa keluarga memainkan peranan
yang begitu penting dalam membentuk diri anak-anak dari segala aspek.
Persoalannya, pernahkah ibu bapa renungkan sejauh mana peranan yang mereka
mainkan berpengaruh dalam perjalanan hidup anak mereka?
Slogan ‘Rumahku Syurgaku’
membawa erti keluarga yang bahagia. Dalam hal ini, ibu bapa amat berperanan
dalam melahirkan keluarga yang aman dan damai. Menurut Dr. Hassan Ali, Pengarah
Akademi Keluarga Bahagia Malaysia, kesejahteraan bermula dari rumah, maka ibu
bapa hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan
keindahan kepada anak-anak. Kesejahteraan di rumah akan dapat mewujudkan
keluarga penyayang. Oleh itu, ibu bapa harus peka dan faham serta mempunyai
iltizam untuk melahirkan insan yang utuh dari segi emosi, akhlak, dan moraliti
dalam mengharungi ranjau serta liku yang sentiasa menghambat kesejahteraan
keluarga. Anak-anak yang membesar dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah
menerima perkara-perkara positif dalam membina jati diri mereka. Oleh
itu, anak-anak terutamanya remaja yang baru sahaja berumur setahun jagung, darah
setampuk pinang ini, tidak akan bercermin di air keruh. Selain itu, mereka juga
lebih tenang dan lebih mudah menerima pelajaran bagi memastikan kecemerlangan
mereka dalam bidang akademik. Mereka tidak akan teraba-raba dalam mencari hala
tuju kerana mereka sudah mempunyai keluarga bahagia yang menjadi tulang
belakang mereka. Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa keluarga yang bahagia
menjadi sumber kekuatan mereka dalam menempuh usia remaja yang penuh cabaran.
Selain itu, ibu bapa
bertanggungjawab memberikan ilmu kepada anak-anak. Peranan ilmu dalam kehidupan
seseorang individu sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, anak-anak
mestilah dipupuk supaya mencintai ilmu. Misalnya, ibu bapa wajar membudayakan
amalan membaca dalam keluarga. Sesungguhnya, ilmu umpama cahaya yang akan
menerangi hidup kita dengan membawa kejayaan. Menurut Islam, menuntut ilmu itu
difardhukan kepada setiap muslim. Malah, Rasulullah S.A.W. pernah
bersabda, tuntutlah ilmu hingga ke negeri China. Hal ini jelas menunjukkan
betapa pentingnya ilmu kepada anak-anak supaya mereka mencapai kecemerlangan
dalam bidang akademik yang seterusnya akan melahirkan insan yang lebih
intelektual dan berketrampilan.
Pada era globalisasi dan
modenisasi ini, tugas mendidik, menjaga dan melindungi anak-anak daripada perkara
yang negatif bukanlah suatu perkara yang ringan dan mudah bagi sesebuah
keluarga. Bekalan pendidikan yang berkualiti dari sekolah,menanamkan rasa
tanggungjawab dan disiplin, tidak cukup sekiranya tidak diimbangi dengan bekal
pendidikan agama yang baik. Kita sendiri dapat melihat hakikat bahawa golongan
yang berpelajaran turut terlibat dalam kes-kes jenayah yang berlaku pada hari
ini. Oleh itu, tidak lengkaplah seorang individu itu sekiranya tidak menghayati
nilai-nilai agama. Dalam hal ini, ibu bapa mesti bertindak sejak peringkat akar
umbi lagi dalam usaha menerapkan nilai agama. Bak kata pepatah, sebesar rumah
bermula dengan seketul bata. Menurut Presiden Persatuan Penggerak Komuniti
Malaysia, Norizan Sharif mengatakan bahawa ibu bapa sebagai golongan veteran
haruslah membina kekuatan dalaman diri anak-anak dengan asas agama. Sememangnya
tidak dapat disangkal lagi, didikan agama yang secukupnya akan menjadi benteng
yang kukuh dalam menangkis segala
anasir yang tidak baik dan seterusnya akan memandu mereka ke arah
kecemerlangan. Justeru,ibu bapa amat berperanan dalam memberikan didikan agama
yang baik dalam usaha menjadikan mereka insan yang cemerlang.
Di samping itu, ibu bapa perlu
bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana
kecemerlangan anak-anak. Oleh hal yang demikian, mereka mesti menjadi role model
kepada anak-anak. Bagi menjadi role model yang baik, ibu bapa mestilah
memulakannya daripada diri mereka sendiri. Ibu bapa tidak boleh menjadi seperti
ketam yang mengajar anak berjalan lurus. Misalnya,dari segi penampilan diri, ibu
bapa yang menjadi role model ini, perlu berketrampilan sopan dan tidak melanggar
batasan agama dan budaya. Mereka juga perlu menjadi pengurus rumahtangga yang
baik iaitu dari segi pengurusan masa, pengurusan diri, sehinggalah ke pengurusan
kewangan. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa, ke mana tumpahnya kuah kalau
tidak ke nasi, bapa borek anak rintik, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Tambahan pula, keluarga
merupakan sumber inspirasi kepada setiap individu. Sentuhan kasih sayang dan
dakapan mesra menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan anak-anak. Lantaran itu,
ibu bapa seharusnya menjadi pemudah cara kepada anak-anak supaya mereka dapat
membebaskan diri daripada belenggu masalah. Sebagai contoh, apabila anak-anak
berhadapan dengan masalah pelajaran atau gangguan emosi, ibu bapa perlu menjadi
pendengar yang setia dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Terdapat juga
anak-anak yang mengalami tekanan sehingga mereka hilang kawalan diri dan putus
asa, ibu bapalah orang pertama yang seharusnya menghidupkan kembali semangat
mereka dan memberikan bimbingan untuk meneruskan kehidupan. Jika tidak,mereka
pasti akan mencari orang luar yang belum tentu dapat menjadi penggalak dan pembimbing
ke jalan yang benar. Justeru, ibu bapalah yang harus menjadi penggalak dan
pembimbing yang terbaik supaya mudah bagi mereka untuk mengharungi segala
cabaran dalam usaha menjadi insan yang cemerlang.
Pada masa yang sama, anak-anak
mestilah diberikan perhatian. Ibu bapa mestilah peka terhadap faktor-faktor di
sekeliling anak-anak mereka. Misalnya, ibu bapa mestilah mengawal dan memantau
pergaulan anak-anak dengan rakan supaya mereka tidak akan mudah terdedah kepada
perkara-perkara yang tidak baik sekiranya tersilap langkah dalam memilih rakan.
Malah, kita dapat melihat pada setiap hari, isu negatif yang melibatkan generasi
muda menghiasi lembaran akhbar. Contohnya, gejala merokok dalam kalangan
remaja. Isu negatif seumpama ini bertitik tolak daripada pengaruh rakan sebaya.
Hal ini bermakna, ibu bapa berperanan mengawal dan melindungi anak-anak mereka
daripada terjebak dengan perkara negatif yang akhirnya akan menjadi penghalang
kepada kecemerlangan anak-anak pada masa hadapan.
Berdasarkan cambahan minda di
atas, konklusi yang dapat dibuat ialah sukar untuk menafikan bahawa
kecemerlangan ibu bapa menjadi modal insan yang utama untuk menjana
kecemerlangan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa mestilah melengkapkan diri dengan
ilmu keibubapaan sebelum melayari bahtera rumahtangga demi melahirkan ibu bapa
yang prihatin. Pengisian ilmu keibubapaan yang merangkumi tanggungjawab
suami, isteri, dan anak-anak serta batasan-batasan hak mereka ini diharapkan
dapat membantu mereka dalam membentuk sahsiah atau disiplin anak-anak. Sesungguhnya
disiplin yang kukuh adalah pencetus kecemerlangan dan kegemilangan. Hal ini
seiring dengan kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Bin Haji Ahmad
Badawi yang berhasrat menjana rakyat Malaysia menjadi cemerlang, gemilang, dan
terbilang dalam usaha mewujudkan negara yang maju. Hal ini jelas menunjukkan
kepada kita bahawa peranan keluarga ini sebenarnya memberi sumbangan dalam
pembentukan sesebuah negara. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa maju
atau mundur sesebuah negara terletak di tangan ibu bapa yang membentuk sesebuah
institusi keluarga.
seriously , bagus gilaa karangan ni :3
ReplyDeleteTerima kasih...
Delete, thanks bgy contoh karangan nyh .
ReplyDeleteSama2...
Deletepjg gilaa krgn ni...btw thanks for sharing this essay
ReplyDeletethanks for the karangan mememang bagus
ReplyDeleteTerima kasih sebab hasil kan karangan yang cukup bagus.. pepatah melayu yang banyak.. terbaik..
ReplyDeletethanks for sharing :) contoh esei yg sgt bagus
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletegood
ReplyDeletethnks.....
ReplyDeletetpi cuba seimbangkan perenggan okay...krngan yg sngat bagus..keep up the good work =)
ReplyDeleteNot vad😄
ReplyDeleteNot bad😝
ReplyDeleteTerima kasih..Krgan yg mantap
ReplyDeleteI love this essay 😍
ReplyDelete2021😳
ReplyDelete