UCAPAN HARI GURU



             Yang Berusaha Puan Naaimah Bt Ismail, Pengetua SMK Taman Desa, Yang Dihormati Puan Rojmah Bt Abdullah, Guru Penolong Kanan, Puan Maimunah Bt Abdul Ghani, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yang Berbahagia Encik Muhammad Johari Bin Mustafa, Yang Dipertua PIBG, guru-guru,para pengawas dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Salam Satu Malaysia dan Salam Mercu di Hari Guru.

            Terlebih dahulu terima kasih diucapkan kepada pihak majlis yang telah memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan pada hari yang mulia ini. Alhamdulillah, saya ingin panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya serta inayahnya dapat kita bersama-sama meraikan sambutan hari guru yang sungguh bermakna dan penuh erti pada hari ini.

         Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita dan inilah waktu yang terbaik untuk meluahkan setinggi tinggi rasa terima kasih, penghargaan, dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada agama, bangsa, dan negara.

            Pepatah Melayu ada berkata, “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”, menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna kepada kita semua. Sememangnya tugas sebagai seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah maka guru sebagai penjana transformasi pendidikan perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Selain itu, guru juga mendepani pelbagai onak dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah anak-anak muridnya. Antaranya, ada saja dalam kalangan pelajar yang menimbulkan masalah disiplin malah guru-guru juga terpaksa berhadapan dengan segelintir ibu bapa yang menuding jari ke arah guru apabila timbul sebarang masalah.

Hadirin sekalian,
             Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke arah Wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan. Guru- guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda.

              Bersempena dengan Hari Guru ini, saya mewakili semua pelajar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru yang telah bertungkus lumus mendidik dan mengajar kami agar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air. Jasa guru-guru demi memakmurkan murid dan memajukan sekolah amat dihargai. Semoga Allah S.W.T.akan membalas segala jasa dan bakti guru guru terhadap kami.

             Harapan saya kepada rakan-rakan dan adik-adik sekalian, hormatilah dan dengarlah nasihat-nasihat daripada guru agar kita akan terus berjaya. Hargailah jasa dan sumbangan guru dengan menghadiahkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

           Akhir sekali, saya mewakili semua pelajar SMK Taman Desa ingin memohon maaf atas kesilapan yang pernah kami lakukan. Segala nasihat dan teguran yang diberikan guru-guru akan kami sematkan dalam sanubari. Jasa guru terhadap kami tidak akan kami lupakan selagi  hayat dikandung badan. Kami juga berharap agar guru –guru yang disayangi akan sentiasa mendoakan kejayaan kami pada masa hadapan.

Sekian. Wabillahi taufiq walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

KARANGAN DIRI SAYA

CARA MENJAGA KESIHATAN

PERANAN INSTITUSI KELUARGA DALAM MELAHIRKAN INSAN CEMERLANG